Khamis, 30 Jun 2011

Kaum Muda



Sejak dari aku kecil. Aku sudah pernah mendengar istilah yang di sebut “kaum muda”. Masa itu aku di Perak lagi, sekitar tahun 1978-1979. Aku dengar mereka yang di panggil kaum muda ini sebagai orang beragama matahari atau agama hijau. Dikatakan apabila mereka meninggal, mereka akan dikebumikan bersama botol. Kelompok itu tinggal dan bercampur sesama mereka sahaja dan mempuntai tanah perkuburan sendiri. Mereka tinggal sekitar dalam Daerah Kerian. Aku pun tak tau di mana dan bagaimana kumpulan ini dan aku pun tak tanya kerana pada masa itu aku darjah 1 atau 2 sahaja. Budak-budak tak boleh menyampuk orang tua berbual. Mencuri dengar itu pun dah boleh memalukan ibubapa.

Pertengahan 80an’, semasa di Pahang aku dengar kaum muda ini Pengikut Fahaman Qadiani. Adakah agama matahari dan agama matahari tu fahaman yang sama? Aku pun tak tau. Tapi aku percaya, kumpulan yang berfahaman ini masih ada di Perak. Sebenarnya bab kaum muda ini ada dalam sukatan pelajaran STPM. Aku terpanggil untuk menyelitkan isu ini, kerana aku masih jumpa lagi orang-orang yang lebih muda daripada aku, yang membesar dengan buku dan internet  masih tidak mengetahui dan memahami istilah ini dan masih menunjuk kepada fahaman yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani itu sebagai  kaum muda.

Kaum Muda

Kaum muda adalah gelaran yang berikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama kaum tua) terhadap beberapa ulama di Pantai Barat Tanah Melayu, Pulau Sumatera dan Mesir.Gelaran ini diberikan kerana ulama-ulama ini dikatakan cuba membawa satu ciri yang baru dalam ajaran agama. Dalam perjuangan kaum muda ini, mereka menyeru agar masyarakat kembali kepada ajaran Al-Quran dan As Sunah serta mengamalkan ijtihad. Ulama-ulama Kaum Muda sangat kuat menentang amalan-amalan yang disifatkan sebagai bid’ah atau khurafat atau dalam erti kata lain amalan-amalan yang diada-adakan oleh orang yang terkemudian yang tidak diamal oleh Rasulullah S.A.W.

Pemikiran ini dikenali sebagai pemikiran Islah (reformasi). Mereka menekankan kepada semangat  ajaran Islam yang tulen. Dari semangat inilah, aliran kaum muda ini sangat menekankan kepada usaha-usaha islah atau tajdid. Usaha tajdid ini berkait rapat dengan kegiatan ijtihad sehingga dikatakan bahawa tajdid dan ijtihad adalah dua unsur yang saling melengkapi.

Walaupun gerakan tajdid ini secara zahirnya mendukung konsep rasionalisme namun ia tetap bertentang dengan gerakan modernisme yang mana golongan reformis ini hanya berijtihad pada perkara-perkara yang kurang jelas (zanniyyah) kedudukan hukumnya manakala golongan modernisme pula berpegang terus kepada akal didalam berijtihad tanpa batas sehingga termasuk kepada perkara-perkara yang sudah jelas (qat’iyyah) hukumnya.

Sejarah Kaum Muda

Aliran kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18M iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787). Tetapi sebenarnya aliran reformasi ini sudahpun bermula jauh sebelum itu iaitu ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai “the first and greatest Muslim reformer”.

Perkembangan aliran reformis di peringkat dunia diwarnai dengan kemunculan beberapa orang tokoh yang dianggap sinonim dengan gerakan ini. Antaranya ialah Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M) , Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M) dan Rasyid Redha (1865M-1935M
) .
Di Tanah Melayu, gerakan Kaum Muda ini bermula dari Selatan iaitu Singapura seterusnya merebak ke Pantai Barat dan Kelantan merupakan antara lokasi terakhir yang berjaya diserapi oleh idea-idea Kaum Muda. Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai kaum muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Mereka ini bergabung untuk menerbitkan majalah al-Imam (1906-1908) iaitu mirip majalah al-Manar dari sudut semangat dan prinsipnya. 
Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za’ba sendri merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran kaum Muda ini.





Qadiani

Ajaran Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Gulam Ahmad Qadiani di . India pada 1889 ialah ajaran sesat dan terkeluar daripada agama Islam. Nama Qadiani ialah sempena nama asal kampung tempat lahir Mirza di Gurdaspur, India. Ajaran ini disibarkan oleh pengikut-pengikutnya atas nama agama Islam, pada hal ianya jauh bertentangan dengan ajaran Islam.
Penyelewengan yang nyata dalam ajaran Qadiani bermula dari dakwaan menerima wahyu dari Allah oleh Mirza Ghulam Ahmad. Kenyataan yang sebenarnya  ialah tiada seorangpun selepas nabi Muhammad s.a.w. sama ada dari kalangan sahabat mahupun dikalangan Al-Salaf Al-Salih akan diturunkan wahyu.
Selain dari itu Mirza Ghulam Ahmad didakwa sebagai Imam Mahdi. Imam Mahadi adalah dakwaan tanpa asas. Hadith-hadith mengenai Imam Mahadi hanyalah
hadith ahad dan tidak menjelaskan siapa sebenar Imam Mahadi. Gelaran Imam Mahadi yang dikatakan itu merupakan rekaan golongantertentu untuk mengagungkan pemimpin mereka semata-mata serta Mirza mendakwa ianya sebagai perintah Allah.

Masih aku ingat.... pada penghujung 70an, masih ada orang-orang Islam yang mengunjungi keramat seperti di Masjid Tinggi (Masjid Lama), Bagan Serai dan Masjid Hijau, Kg Kedah (aku dah tak ingat lokasi tempat ini).

Aku juga masih ingat adanya upacara mandi Safar atau mandi tolak bala di Parit Tok Ain (Ban Pecah), Kuala Kurau. Yang menariknya doa dibacakan oleh Pak Imam kampong atau orang yang sering mengetuai majlis-majlis tahlil. Sedangkan jelas pada ketika itu dalam sukatan pelajaran ada diajarkan hadis:

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung hantu, tiada bala bulan safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari dari singa.
(Riwayat Bukhari)

Dan aku tak tahu bagaimana amalan khurafat ini menjadi tarikan dan akhirnya ditinggalkan.

Tambah lagi sebagai rujukan

Akhli Sunnah Waljamaah

Golongan orang Islam yang berpegang pada Akidah ( ajaran, kepercayaan, dan amalan) yang dibawa oleh rasullullah mengikut Al-Quran, dan sunnahnya. Fahaman ini juga dijadikan penggangan para sahabat rasullullah ( Al-hadith, ajmak para sahabat, dan Al-khias). Fahaman ini dapat menjernihkan Akhidah umat Islam daripada berbagai-bagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Fahaman Wahabiat

Golongan yang berpengang pada Al-Quran dan hadith rasullullah  S.A.W serta menolak bidaah termasuk bidaah hassanah dan menganggap semua bidaah adalah sesat. Golongan  ini melarang penganutnya menziarahi makam Rasullullah. Melarang penganutnya mempelajari sifat dua puluh Allah Taala.

Fahaman Syiah

Golongan yang menganggap Saidinah Ali Radhiallahhuan dan keturunannya yang lain sebagai pengganti Rasullullah sebagai Imam (Pemimpin) yang maksum bagi umat islam. Dan golongan ini tidak mengakui khalifah yang lain sebagai pemimpin. Dan golongan ini di anggap terpesong dari landasan agama Islam. Dan golongan ini ramai berada di Asia Barat.

Fahaman Muktazilah

Golongan yang percaya kepada ketentuan logik akal fikiran atau di kenali dengan ahli fikir. Mereka banyak terpengaruh dengan fahaman Yunani. Mereka percaya kepada keusahaan zat Allah Taala, tetapi tidak percaya Allah Taala mempunyai sifat. (Terlalu taksub kepada logik akal sehingga segala perbuatan manusia di tentukan oleh akal fikiran dan membelakangi kudrat dan irodah Allah Taala).

Fahaman Qadariah

Golongan  yang  mengikut fahaman Muktazilah yang berfahaman bahawa manusia mempunyai kuasa yang tersendiri dan dapat menentukan segala perbuatannya sama ada baik ataupun buruk. Allah Taala tidak ada kena-mengena dengan perbuatan manusia dan hanya mengetahui setelah perbuatan itu dilakukan oleh manusia. Menganggap perbuatan manusia  memberi kesan.

Fahaman Jabariah

Golongan yang berfahaman bahawa manusia tidak mempunyai ikhtiar dan usaha. Segala-galanya berlaku dan di jadikan oleh Allah Taala, baik dan buruk adalah ketentuan Allah Taala semata-mata.
Di atas ialah 7  fahaman yang terdapat di dalam agama Islam. Mungkin ramai di antara kita semua tidak tahu yang agama Islam mempunyai fahaman-fahaman yang berlainan. Di antara semua fahaman di atas hanya satu sahaja fahaman yang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar iaitu Ahli Sunnah Waljamaah.

Berkenaan Kaum Muda itu, mungkin ramai juga yang tak tau apa difinasi kaum muda dan sering menunjuk kepada Qadiani yang ternyata bertentangan dari ajaran Islam sebagai Kaum Muda.
Semua itu sebenarnya ada diajarkan dalam sukatan pelajaran dulu. Fahaman dalam Islam itu ada dalam Pendidikan Agama Islam tingkatan 3 Bab Qada dan Qadar. Kaum muda pula ada dalam sukatan pelajaran untuk STPM. Kita je yang lupa. 


Rasulullah bersabda:

 "Di akhir zaman umat ku akan berpecah kepada 73 golongan dan hanya 1 saja yang betul"

1 daripada 73 sahaja yang betul. 1 per 73 atau 0.013% dari keseluruhan umat. Yang di atas baru 7. Mungkin boleh masukkan As-Saariyah dan Khawarij. Dimanakah kewajaran mencari yang satu itu atau mengaku yang satu dan menunjuk-nunjuk kepada yang lain itu sebagai kelonpok 72 yang lainnya. Lihatlah khutbah terakhir Rasulullah S.A.W.

Tarikh:  9  Zulhijjah Tahun 10 Hijrah
Tempat: Lembah Uranah, Gunung ’Arafah


Wahai  manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak  mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun  ini.

Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari  ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka  anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah  kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah  bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. 

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan diri mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. 

Layanilah  wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. 

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.

Ketahuilah  bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal  soleh. 

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan.
Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. 
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”


Penutup

Apabila melihat pesanan terakhir Rasulullah itu dan: 

“Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Sepertinya kita, aku terutamanya, sungguh tidak layak untuk mengatakan aku yang benar dalam kelompok yang benar. Walaupun aku bermazhab Shafie, dari Fahaman Sunnah Wal Jamaah setakat mana aku mengikut AlQuran dan Hadis, Setakat mana aku taat dan patuh perintah Allah. Dan setakat mana aku menjadikan Sunnah sebagai cara hidup.
Ya Allah... Ampunkanlah dosa-dosaku. 

Nota:

Ijtihad:
bersungguh-sungguh sedaya upaya untuk menyimpulkan hukum-hukum syarak berlandaskan kaedah-kaedah tertentu dalam menghadapi persoalan-persoalan baru yang tidak jelas hukumnya dalam nas-nas Al Quran dan Sunnah atau Ijma’ Ulama.

Islah:
membaiki atau membersihkan Islam dari pemalsuan dan penyelewengan ajaran.

Tajdid:
memperbaharui atau menyegarkan semula kefahaman atau komitmen  terhadap ajaran-ajaran agama sesuai dengan tuntutan zaman.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan