Khamis, 30 Jun 2011

Kaum Muda



Sejak dari aku kecil. Aku sudah pernah mendengar istilah yang di sebut “kaum muda”. Masa itu aku di Perak lagi, sekitar tahun 1978-1979. Aku dengar mereka yang di panggil kaum muda ini sebagai orang beragama matahari atau agama hijau. Dikatakan apabila mereka meninggal, mereka akan dikebumikan bersama botol. Kelompok itu tinggal dan bercampur sesama mereka sahaja dan mempuntai tanah perkuburan sendiri. Mereka tinggal sekitar dalam Daerah Kerian. Aku pun tak tau di mana dan bagaimana kumpulan ini dan aku pun tak tanya kerana pada masa itu aku darjah 1 atau 2 sahaja. Budak-budak tak boleh menyampuk orang tua berbual. Mencuri dengar itu pun dah boleh memalukan ibubapa.

Pertengahan 80an’, semasa di Pahang aku dengar kaum muda ini Pengikut Fahaman Qadiani. Adakah agama matahari dan agama matahari tu fahaman yang sama? Aku pun tak tau. Tapi aku percaya, kumpulan yang berfahaman ini masih ada di Perak. Sebenarnya bab kaum muda ini ada dalam sukatan pelajaran STPM. Aku terpanggil untuk menyelitkan isu ini, kerana aku masih jumpa lagi orang-orang yang lebih muda daripada aku, yang membesar dengan buku dan internet  masih tidak mengetahui dan memahami istilah ini dan masih menunjuk kepada fahaman yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani itu sebagai  kaum muda.

Kaum Muda

Kaum muda adalah gelaran yang berikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama kaum tua) terhadap beberapa ulama di Pantai Barat Tanah Melayu, Pulau Sumatera dan Mesir.Gelaran ini diberikan kerana ulama-ulama ini dikatakan cuba membawa satu ciri yang baru dalam ajaran agama. Dalam perjuangan kaum muda ini, mereka menyeru agar masyarakat kembali kepada ajaran Al-Quran dan As Sunah serta mengamalkan ijtihad. Ulama-ulama Kaum Muda sangat kuat menentang amalan-amalan yang disifatkan sebagai bid’ah atau khurafat atau dalam erti kata lain amalan-amalan yang diada-adakan oleh orang yang terkemudian yang tidak diamal oleh Rasulullah S.A.W.

Pemikiran ini dikenali sebagai pemikiran Islah (reformasi). Mereka menekankan kepada semangat  ajaran Islam yang tulen. Dari semangat inilah, aliran kaum muda ini sangat menekankan kepada usaha-usaha islah atau tajdid. Usaha tajdid ini berkait rapat dengan kegiatan ijtihad sehingga dikatakan bahawa tajdid dan ijtihad adalah dua unsur yang saling melengkapi.

Walaupun gerakan tajdid ini secara zahirnya mendukung konsep rasionalisme namun ia tetap bertentang dengan gerakan modernisme yang mana golongan reformis ini hanya berijtihad pada perkara-perkara yang kurang jelas (zanniyyah) kedudukan hukumnya manakala golongan modernisme pula berpegang terus kepada akal didalam berijtihad tanpa batas sehingga termasuk kepada perkara-perkara yang sudah jelas (qat’iyyah) hukumnya.

Sejarah Kaum Muda

Aliran kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18M iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787). Tetapi sebenarnya aliran reformasi ini sudahpun bermula jauh sebelum itu iaitu ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai “the first and greatest Muslim reformer”.

Perkembangan aliran reformis di peringkat dunia diwarnai dengan kemunculan beberapa orang tokoh yang dianggap sinonim dengan gerakan ini. Antaranya ialah Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M) , Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M) dan Rasyid Redha (1865M-1935M
) .
Di Tanah Melayu, gerakan Kaum Muda ini bermula dari Selatan iaitu Singapura seterusnya merebak ke Pantai Barat dan Kelantan merupakan antara lokasi terakhir yang berjaya diserapi oleh idea-idea Kaum Muda. Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai kaum muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Mereka ini bergabung untuk menerbitkan majalah al-Imam (1906-1908) iaitu mirip majalah al-Manar dari sudut semangat dan prinsipnya. 
Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za’ba sendri merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran kaum Muda ini.





Qadiani

Ajaran Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Gulam Ahmad Qadiani di . India pada 1889 ialah ajaran sesat dan terkeluar daripada agama Islam. Nama Qadiani ialah sempena nama asal kampung tempat lahir Mirza di Gurdaspur, India. Ajaran ini disibarkan oleh pengikut-pengikutnya atas nama agama Islam, pada hal ianya jauh bertentangan dengan ajaran Islam.
Penyelewengan yang nyata dalam ajaran Qadiani bermula dari dakwaan menerima wahyu dari Allah oleh Mirza Ghulam Ahmad. Kenyataan yang sebenarnya  ialah tiada seorangpun selepas nabi Muhammad s.a.w. sama ada dari kalangan sahabat mahupun dikalangan Al-Salaf Al-Salih akan diturunkan wahyu.
Selain dari itu Mirza Ghulam Ahmad didakwa sebagai Imam Mahdi. Imam Mahadi adalah dakwaan tanpa asas. Hadith-hadith mengenai Imam Mahadi hanyalah
hadith ahad dan tidak menjelaskan siapa sebenar Imam Mahadi. Gelaran Imam Mahadi yang dikatakan itu merupakan rekaan golongantertentu untuk mengagungkan pemimpin mereka semata-mata serta Mirza mendakwa ianya sebagai perintah Allah.

Masih aku ingat.... pada penghujung 70an, masih ada orang-orang Islam yang mengunjungi keramat seperti di Masjid Tinggi (Masjid Lama), Bagan Serai dan Masjid Hijau, Kg Kedah (aku dah tak ingat lokasi tempat ini).

Aku juga masih ingat adanya upacara mandi Safar atau mandi tolak bala di Parit Tok Ain (Ban Pecah), Kuala Kurau. Yang menariknya doa dibacakan oleh Pak Imam kampong atau orang yang sering mengetuai majlis-majlis tahlil. Sedangkan jelas pada ketika itu dalam sukatan pelajaran ada diajarkan hadis:

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung hantu, tiada bala bulan safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari dari singa.
(Riwayat Bukhari)

Dan aku tak tahu bagaimana amalan khurafat ini menjadi tarikan dan akhirnya ditinggalkan.

Tambah lagi sebagai rujukan

Akhli Sunnah Waljamaah

Golongan orang Islam yang berpegang pada Akidah ( ajaran, kepercayaan, dan amalan) yang dibawa oleh rasullullah mengikut Al-Quran, dan sunnahnya. Fahaman ini juga dijadikan penggangan para sahabat rasullullah ( Al-hadith, ajmak para sahabat, dan Al-khias). Fahaman ini dapat menjernihkan Akhidah umat Islam daripada berbagai-bagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Fahaman Wahabiat

Golongan yang berpengang pada Al-Quran dan hadith rasullullah  S.A.W serta menolak bidaah termasuk bidaah hassanah dan menganggap semua bidaah adalah sesat. Golongan  ini melarang penganutnya menziarahi makam Rasullullah. Melarang penganutnya mempelajari sifat dua puluh Allah Taala.

Fahaman Syiah

Golongan yang menganggap Saidinah Ali Radhiallahhuan dan keturunannya yang lain sebagai pengganti Rasullullah sebagai Imam (Pemimpin) yang maksum bagi umat islam. Dan golongan ini tidak mengakui khalifah yang lain sebagai pemimpin. Dan golongan ini di anggap terpesong dari landasan agama Islam. Dan golongan ini ramai berada di Asia Barat.

Fahaman Muktazilah

Golongan yang percaya kepada ketentuan logik akal fikiran atau di kenali dengan ahli fikir. Mereka banyak terpengaruh dengan fahaman Yunani. Mereka percaya kepada keusahaan zat Allah Taala, tetapi tidak percaya Allah Taala mempunyai sifat. (Terlalu taksub kepada logik akal sehingga segala perbuatan manusia di tentukan oleh akal fikiran dan membelakangi kudrat dan irodah Allah Taala).

Fahaman Qadariah

Golongan  yang  mengikut fahaman Muktazilah yang berfahaman bahawa manusia mempunyai kuasa yang tersendiri dan dapat menentukan segala perbuatannya sama ada baik ataupun buruk. Allah Taala tidak ada kena-mengena dengan perbuatan manusia dan hanya mengetahui setelah perbuatan itu dilakukan oleh manusia. Menganggap perbuatan manusia  memberi kesan.

Fahaman Jabariah

Golongan yang berfahaman bahawa manusia tidak mempunyai ikhtiar dan usaha. Segala-galanya berlaku dan di jadikan oleh Allah Taala, baik dan buruk adalah ketentuan Allah Taala semata-mata.
Di atas ialah 7  fahaman yang terdapat di dalam agama Islam. Mungkin ramai di antara kita semua tidak tahu yang agama Islam mempunyai fahaman-fahaman yang berlainan. Di antara semua fahaman di atas hanya satu sahaja fahaman yang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar iaitu Ahli Sunnah Waljamaah.

Berkenaan Kaum Muda itu, mungkin ramai juga yang tak tau apa difinasi kaum muda dan sering menunjuk kepada Qadiani yang ternyata bertentangan dari ajaran Islam sebagai Kaum Muda.
Semua itu sebenarnya ada diajarkan dalam sukatan pelajaran dulu. Fahaman dalam Islam itu ada dalam Pendidikan Agama Islam tingkatan 3 Bab Qada dan Qadar. Kaum muda pula ada dalam sukatan pelajaran untuk STPM. Kita je yang lupa. 


Rasulullah bersabda:

 "Di akhir zaman umat ku akan berpecah kepada 73 golongan dan hanya 1 saja yang betul"

1 daripada 73 sahaja yang betul. 1 per 73 atau 0.013% dari keseluruhan umat. Yang di atas baru 7. Mungkin boleh masukkan As-Saariyah dan Khawarij. Dimanakah kewajaran mencari yang satu itu atau mengaku yang satu dan menunjuk-nunjuk kepada yang lain itu sebagai kelonpok 72 yang lainnya. Lihatlah khutbah terakhir Rasulullah S.A.W.

Tarikh:  9  Zulhijjah Tahun 10 Hijrah
Tempat: Lembah Uranah, Gunung ’Arafah


Wahai  manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak  mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun  ini.

Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari  ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka  anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah  kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah  bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. 

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan diri mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. 

Layanilah  wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. 

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.

Ketahuilah  bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal  soleh. 

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan.
Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. 
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”


Penutup

Apabila melihat pesanan terakhir Rasulullah itu dan: 

“Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Sepertinya kita, aku terutamanya, sungguh tidak layak untuk mengatakan aku yang benar dalam kelompok yang benar. Walaupun aku bermazhab Shafie, dari Fahaman Sunnah Wal Jamaah setakat mana aku mengikut AlQuran dan Hadis, Setakat mana aku taat dan patuh perintah Allah. Dan setakat mana aku menjadikan Sunnah sebagai cara hidup.
Ya Allah... Ampunkanlah dosa-dosaku. 

Nota:

Ijtihad:
bersungguh-sungguh sedaya upaya untuk menyimpulkan hukum-hukum syarak berlandaskan kaedah-kaedah tertentu dalam menghadapi persoalan-persoalan baru yang tidak jelas hukumnya dalam nas-nas Al Quran dan Sunnah atau Ijma’ Ulama.

Islah:
membaiki atau membersihkan Islam dari pemalsuan dan penyelewengan ajaran.

Tajdid:
memperbaharui atau menyegarkan semula kefahaman atau komitmen  terhadap ajaran-ajaran agama sesuai dengan tuntutan zaman.



Isnin, 6 Jun 2011

Jejak Kasih - Ibu

Subuh Selasa Hari Raya Haji 20 Januari 2005. Aku, Iwan, Zul dan Adi berbual-bual di parking kereta. Adi bercerita yang dia tak pernah jumpa ibunya sejak dari kecil. Aku katakan kita boleh ikhtiar. Tak perlu masuk TV dalam rangkaian Jejak Kasih. Kita buat jejak kasih sendiri.
Perkara pertama, aku tanya no kad pengenalan ibunya. Dia kata tak tau, aku katakan no kad pengenalan ada dalam sijil kelahiran anak. Dia kata no kad pengenalan tak ada dalam sijil kelahirannya. Aku terkejut. Aku minta dia pastikan betul-betul. Esoknya, Adi SMS aku dan katakan no. kad pengenalan ibunya ada dalam sijil kelahirannya dan memberikan kepada aku.


Langkah pertama yang aku ambil, aku membuat carian daftar undi ibunya dalam web Suruhanjaya Pilihan Raya. Tiada rekod mengundi bagi ibunya. Keesokkan kami berbincang lagi. Iwan mencadangkang kami ke Bukit Katil, Melaka dan membuat carian mengikut khariah serta menampal risalah. Aku tidak setuju dan katakan itu makan masa dan kos. Itu adalah jalan terakhir selain kaedah Jejak Kasih diTV.


Aku cadangkan buat carian di JPN dahulu. Pada hari off berikutnya, 26 Januari 2005 aku, Adi, Iwan dan Zul pergi ke Shah Alam. Kami ke Plaza Massalam. Sampai di sana, kami terus ke JPN. Pada hari itu orang tidak ramai. Aku, Adi dan Iwan ke kaunter pertanyaan. Kami bercerita, meminta tolong pegawai yang bertugas dan menyerahkan Sijil Kelahiran Adi sebagai bukti. Pegawai yang bertugas melayan baik sekali.


"Mak awak dah meninggal la" kata pegawai kaunter. "Bila" tanyaku. "Tahun 1983" kata pegawai kaunter.


Adi berubah wajah. Nampak kesedihan. Dia berundur keluar diikuti Zul. Aku mengikut dari belakang. Sementara Iwan masih di kaunter pertanyaan. Adi katakan yang dia rasa terkilan dan tidak dapat menatap wajah ibunya. Dia keluar dari rumah dengan harapan dapat berjumpa ibunya pada hari ini. Aku dan Zul tenangkan Adi dan katakan 


"tak pe Adi, kita lawat kuburnya dan sedekahkan Al Fatihah". "Kita cari kuburnya". Engkau mesti ada saudara mara sebelah ibu yang belum pernah jumpa".


Adi mengangguk. Aku dan Adi kembali ke kaunter pertanyaan. Iwan masih di situ. Pegawai di kaunter masih melihat data-data Adi. Seorang Pegawai meja belakang berdiri di sebelahnya sambil memerhati skrin komputer. Rupa-rupanya mereka melihat data keluarga Adi. Ibu-ibu tirinya dan adik-beradiknya yang lain.


Adi diberi no kad pengenalan baru Allayarhamah ibunya.


Aku ajukan pertanyaan 


"Kalau ibunya dah meninggal, boleh kami tahu dimana dikebumikan?".


Kata pegawai kaunter  


"Orang yang meninggal sebelum tahun 2000 tiada rekod itu". 


Kataku 


"No IC baru ada pulak".


Pegawai dikaunter menjawab 


"Itu automatik".


Iwan mencelah 


"boleh dapatkan maklumat lain, tempat kerja akhir atau kediaman akhir?"
"Tak ada la".


Kami terpaksa berpuas hati dengan apa yang kami dapat.


Selepas mengucapkan terima kasih kepada dua orang kaki tangan JPN itu, kami meninggalkan Plaza Massalam dan pergi minum-minum dahulu. Kami berbincang untuk tindakan selanjutnya. Iwan yang agresif itu mengajak pergi Daerah Bukit Katil dengan cadangan awalnya. Aku pula dengan cadangan aku, memandangkan kami sudah berada Shah Alam. Adi yang nampak sedikit kecewa telah menghantar SMS kepada isterinya dan bercerita. Dia berkata kepada kami "Aku dah fikir untuk tunjukkan gambar keluarga aku kepada mak aku" sambil menunjukkan gambar anak-anaknya dalam hp Nokia 6600.
Lepas itu kami bertolak ke KWSP, Shah Alam. Di kaunter kami bercerita dan bertanyakan jika ada terdapat rekod tentang Alayarhamah ibu Adi. Menurut pegawai yang bertugas, caruman KWSP telah dikeluarkan pada November 1983.
Aku pun bertanya, 


"Yang mengeluarkan wang caruman itu sudah tentu warisnya. Boleh saya tahu nama dan hubungan mereka?". 


Pegawai itu menjawab, 


"Itu tiada dalam rekod kami. Encik cuba pergi ke KWSP Jalan Raja Laut. Di sana mungkin ada rekod. Wang caruman ini pun dikeluarkan di sana. Atau pun encik pergi ke KWSP PJ".
"Kalau macam tu tak apalah. Terima kasih".


Kami tinggalkan Shah Alam dengan kegagalan. Tinggal satu lagi.. KWSP Jalan Raja Laut.


Aku dan Adi ke Kuala Lumpur pada 28 Febuari 2005. Tujuan menjejak siapa yang mengeluarkan wang KWSP itu. Seperti biasa, apabila dikaunter, kami bercerita dan meminta pertolongan. Alhamdulillah, pegawai KWSP yang bertugas memberikan kerjasama. Menurutnya wang caruman itu telah dikeluarkan oleh seseorang yang bernama Sonah Binti Asai pada November 1983. Itu sahaja yang kami dapat. Tempat kerja tiada dalam rekod. Mungkin telah lama dan sistem ketika itu pun masih manual.
Aku tanyakan nama itu pada Adi. Dia kata tak kenal. Aku katakan itu nama orang lama. Mungkin itu nenek sebelah ibunya. Tak mungkin adik beradik Adi kerana jika ada pun mereka masih kanak-kanak. Selepas berjalan-jalan dan berurusan di Komplek Pertama dan PNB, kami pulang. Aku tinggalkan pesanan kepada Adi, cari dan siasat, siapa Sonah.


Pada pertengahan Jun 2005, dengan gembira Adi memberitahuku yang dia telah ke Parit Air Pak Abas, Melaka dan telah bertemu keluarga sebelah Allayarhamah ibunya. Nama itu, nama neneknya. Adi ke Melaka bersama Iwan dan Jijie. Aku tak ikut serta kerana aku sedang berkursus 6 minggu.
Menurut Adi, dia mengetahui tempat asal Allayarhamah ibunya dari bapanya. Adi mengajak Jijie yang kebetulan ramai saudara mara di sana. Aku turut gembira dan puas. Satu cetusan dari aku membawa kepada pertemuan sebuah keluarga.


* aku pernah cadangkan Adi supaya menulis ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai JPN dan KWSP yang membantu. Aku tak pasti Adi buat atau tidak. Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai JPN Shah Alam, KWSP Shah Alam Dan Kuala Lumpur yang berikan kerjasama sehingga Adi dapat berjumpa dengan keluarga sebelah Allayarhamah ibunya.. Terima Kasih.

Jumaat, 3 Jun 2011

Antara Nokia dan Cokia.

Hari ini aku "off day". Lepas Jumaat aku keluar. Selesaikan apa yang belum selesai. Selepas aku ambil barang-barang jualan isteri aku, aku ke Bandar Bukit Klang.
Baru saja aku turun dari kereta, aku disapa.

"Bang hanphone bang! N8".

Sebelum ini aku tak pernah pun layan penjual barang curi (anggapan burukku kerana gaya mereka yang seperti menyorok-nyorok).

"Berapa?" tanyaku.


"Lapan ratus bang".


"Mana boleh, harga N8 2nd tujuh ratus je" kataku berdasarkan formula harga 2nd adalah setengah harga Ori Set.

"Macam ni lah... setengah harga, empat ratus" katanya.

Aku bukan nak beli pun, aku sendiri ada 3 hp dalam pouch, bag dan poket. Tak termasuk 2 biji handphone PTT yang dah lama aku tak guna. Cukuplah Samsung Galaxy Ace, Nokia N79, Nokia 6230i dan 6020 serta 6021. Dah ku godam Android, Symbian 60 2nd/3rd dan Symbian 40. Kalau iphone atau blackberry boleh le jugak. Tapi aku nak tengok, betul ke N8.
Aku ambil handphone itu dan tanya

"betul ke Ori Nokia?"


"betul bang saya baru ambil"

Fizikal handphone itu memang sebiji N8 dengan skru kecil dan pada kameranya tertulis 12MP.
Aku mulakan dengan *#0000#. Perkataan yang tertera agak berbeza dengan Nokia dan tertera N8-00. *#06# tertera no siri bermula dengan 35xxx.

"Wah! dulu kalau hp China no sirinya lain" bisik hatiku. Aku dah mula nak percaya.

Penjual itu mengajak masuk ke dalam kereta. Dia kata takut orang nampak. Aku tak pedulikan. Aku terus pula melihat aplikasi dalam handphone itu. Tenyata lain dari Nokia. Aku buka Ovi Map. Tak boleh.
Sambil itu aku berkata apabila aku nampak ada setting Dual SIM,
"hp Nokia tak ada Dual SIM".

"Handphone China tak ada panggilan video"
Kataku sambil mencari setting Video Call.

Dia dah mula gelisah berkata
"ada satu SIM bang" sambil menunjukkan satu sahaja slot SIM.
"Tadi aturannya seperti Nokia. Saya jalan-jalan, ngak tahu kenapa macam ini. Cuba abang masukkan lagu".

Aku mencari setting bluetooth. Emm.. Sama macam lain-lain handphond buatan China yang aku ketahui. Aku bukan hantar lagu. Aku hantar aplikasi Java. Boleh install. Aku hantar aplikasi Symbian 60 3rd. Handphone Nokia tak kenal aplikasi keluaran Nokia rupanya.

Aku hulurkan handphone itu dan berkata, "handphone China, bukan Nokia asli".

Dia memujukku agar membeli juga dengan harga lebih rendah. Alasan selamat telah ada,
"hp ini buatan China. Kalau dua ratus ringgit pun saya tak mahu". "Macam-macam masalah kalau rosak. Tak ada specialist".

Penjual yang dah kalah itu telah tukar topik.

"kalau abang tak mau membeli tak mengapa, belanja saya makan".


"aik! Nak pau aku pulak" kata hatiku. Macam la rupa aku ni banyak duit.

Aku guna taktik yang aku cara yang sama semasa aku nak kena pau oleh dua budak-budak diatas jejambat di Bagan Serai pada 1995. Pada masa itu mereka kata sambil menyekat aku

"bang! Ada duit?".
Berbudi bahasa juga.

"tak dak la.. Nak balik ni pun tak lepaih. Hangpa ada?".
Terperanjat beruk budak-budak itu.

Kali ini aku katakan,

"saya pun belum makan dari pagi tadi, boleh la belanja saya". "Hp ini (sambil menunjukkan Nokia N79) kalau ditolak, baru dua ratus atau dua ratus lima puluh, yang ditangan kamu itu harganya empat ratus hingga lapan ratus".

Dia tersenyum dan berlalu.

Kesimpulannya, handphone atau pun apa-apa barang yang dijual macam barang curi itu mungkin sebenarnya bukan barang curi. Contohnya, handphone cokia itu, kosnya adalah sangat murah. Kalau dapat jual RM400 lebih RM200 keuntungan yang mereka dapat. Harganya antara USD52 hingga USD65 sahaja satu set di pasaran negara China. Gaya pencuri mungkin itu helah sahaja.

Pada Disember 2002, seorang kawan terkena tipu di Hentian Kinrara KESAS. Ketika keluar dari kereta, datang seorang pemuda berdialek Indonesia yang menawarkan sebuah seutas jam Rolex dengan harga RM600. Katanya baru dicuri dari KLCC. Setelah runding harga, harganya menjadi RM150.
Ketika jam itu ditunjukkan kepadaku, aku yang tidak mahir dengan mahal pun percaya. Tapi 2 bulan kemudian, warna keemasan jam itu luntur. Jam RM600 yang kemudiannya menjadi RM150 itu hanya beharga RM20 sahaja.

Selasa, 31 Mei 2011

Bila Kaki Tersandung.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk buatmu"
(Al Baqarah)

Aku tak fikir apa yang aku terima itu ujian. Siapalah aku disisi Allah. Aku bukannya manusia yang layak dinaikkan darjat. Terlalu kerdil. Si Fasiq dan Munafik. Aku fikir itu adalah kifarah untukku. Semoga Allah mengampuniku.
Hanya takut dengan azab dan mengharapkan pengampunan. Itulah harapan yang ada.

Aku pernah katakan dengan sombongnya. Aku tak akan pandang perempuan dan tak mungkin perempuan boleh mengusik hatiku. Apatah lagi dikala usia sudah menghampiri 40. Belum pun 1 tahun aku keluarkan kata-kata itu, aku pun menerima hukuman.

Sudah kerap aku menerima hukuman secara cash.

Allah datangkan yang mengoda, rupa dan kata-kata. Aku terpesona walaupun hati curiga. Curiga jadi buta. Tak nampak cacat celanya lagi. Semuanya "ya".

Allah datangkan perasaan sayang dan cinta. Aku dengan sedikit kepercayaan betulkan nawaitu. Minta yang lain agar membantu. Dia dengan cerita sedih mempengaruhi rasa di dada. Aku merasa dia harus dibela.

Masa berlalu meningkah waktu, kesuraman jadi terang. Ranjau telah direntas. Hutan telah ditebang. Batu yang tak berguna harus dibuang. Berbagai cara berulang-ulang. Akhirnya batu berderai tak tertahan luluhan yang membakar.

Aku minta penjelasan, tapi tiada penjelasan. Aku minta jawapan, tapi tiada jawapan. Hanya kata berpusing umpama gasing.
Siapa aku?
Kekasih?
Ia sudah terbenam sejak awal lagi. Aku tahu itu.
Abang?
Mampukah jadi adikku? Kalau tak mampu berkata hormat denganku. Sudah berkali melihat dengan kebiadapan itu.
Kawan?
Adakah aku ini dianggap kawan?

Sebelum terlambat aku berusaha untuk lari.
Tapi kemana nak pergi?. Ketawa dibalas herdik, gurau dibalas caci, baik dibalas tahi, dibantah jadi bertambah meradang, larang dibalas curang, nasihat dikata mulut longkang, teguran menjadi salah faham.

Aku dah hilang keikhlasan.
Aku dah hilang keseimbangan.
Aku ambil pusing apa yang berlaku.
Aku ambil peduli apa yang berlalu.
Aku jadi serius dalam tingkahlaku.

Semua kata ku balas. Semua nista ku cantas. Tak beri penjelasan, aku jelaskan. Tak beri jawapan, aku jawabkan.

Aku selidik semua perkara. Aku siasat semua kata. Aku geledah semua cerita. Hingga aku tak pasti yang mana benar yang mana dusta. Penjelasan tetap tiada. Berahsia tetap jadi kepercayaan nyata.

Kerna dah tak mampu mengekang aku, aku dilaga-lagakan. Diwar-warkan,
Aku jadi begitu kerana cinta tak berbalas.
Aku jadi begitu kerana aku bertepuk sebelah tangan.
Tapi lupakah apa yang dikata pada isteriku?. Macam aku tak tahu.

Sesal dan Kesal.
"Nawaitu" layu dimakan waktu,
"Islam Mahukan Janda Dibela" jadi bahan cela,
"Tukarkan Keburukkan Kepada Kebaikan" jadi sendaan,
"Belajarlah Ilmu Agama" jadi kata jenaka.
"Jauhi Fitnah" dah hilang amanah,
"Kejayaan Manusia Dalam Agama, Apabila Taat Dan Patuh Perintah Allah Dan Ikut Cara Rasulullah" tak sempat cerita.

Tiada apa yang aku terima. Dari dunia atau dari syurga.

Aku terima Kifarah dari Allah. Hukuman dunia buatku.

Bila Kaki Tersandung, Baru Ku Termenung.
Bila Keluar Keringat, Baru Ku Teringat.